KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengarahkan pemberian kontrak secara kronisme dan rundingan meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, ini kerana mentadbir kerajaan bukannya satu anugerah, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada ahli politik oleh penduduk.
Katanya, mereka perlu berkhidmat dengan tekun, berkesan dan jujur dan pengundi akan memperbaharui kontrak setiap lima tahun.
“Bersih 2.0 terkejut dengan cadangan yang dilakukan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa parti itu seharusnya menggunakan kedudukannya sebagai kerajaan hari ini untuk menyalurkan sumber-sumber dan projek-projek kepada ketua cawangan untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya ‘dengan cara apa jua’.
“Adakah Tan Sri dan perwakilan yang bersorak lupa dengan pantas mengapa rakyat Malaysia menolak kerajaan UMNO/Barisan Nasional tujuh bulan lalu
“Penyalahgunaan kuasa oleh elit pemerintah menerusi penyaluran sumber-sumber kerajaan, rasuah dan penaung politik membuatkan warga Malaysia bersatu untuk menyatakan ‘yang sudah sudahlah’ pada 9 Mei 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan ucapan penggulungan Abdul Rashid pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kedua semalam yang mendesak peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan agar sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti.
Beliau dilaporkan berkata, kaedah tersebut berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program bagi meraih sokongan pengundi.
Menurut Bersih 2.0, penyalahgunaan kuasa untuk mengkayakan diri sendiri akan menyebabkan penduduk negara ini mengambil kuasa daripada pemerintah dan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka yang terbabit.
Berikutan itu, Bersih 2.0 megalu-alukan tindakan Armada Bersatu yang dengan pantas menolak cadangan Abdul Rashid itu.
Katanya, pemimpin masa depan perlu memahami budaya rasuah perlu dibasmi. – MalaysiaGazette