Home Utama Larangan merokok berkuatkuasa tengah malam ini

Larangan merokok berkuatkuasa tengah malam ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bermula tengah malam ini, semua premis makanan secara automatik diwartakan sebagai tempat larangan merokok.

Arahan itu yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, larangan merokok sama ada di dalam atau di luar premis berkuatkuasa kira-kira jam 12 tengah malam ini.

Menurutnya, arahan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (2004).

Kata beliau, larangan itu dibuat bertujuan untuk melindungi orang awam daripada terdedah asap rokok.

“Kementerian Kesihatan komited memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

September lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye dilaporkan berkata, semua restoran terbuka akan disytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Kata beliau, pewartawaan itu adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia juga katanya, sebagai salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok. – MalaysiaGazette