Home Utama Penetapan harga petrol mingguan ditangguhkan

Penetapan harga petrol mingguan ditangguhkan

KUALA LUMPUR –  Penetapan harga runcit bagi produk petroleum secara mingguan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini akan hanya dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.

Berikutan itu, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing dikekalkan buat masa beberapa hari ini pada paras RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu Kabinet mengambil kira pandangan semua berkepentingan serta perlu mengkaji permintaan Persatuan Penguasaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

Menurutnya, PDAM meminta kerajaan meneliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

“Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyuarat pada 2 Januari 2019 dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, akan diperolehi ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam sebelum pelaksanaan penetapan harga runcit petrol secara minggu yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2019.

Guan Eng berkata, Mahathir juga akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

Pengekalan harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran.

Mekanisme penetapan harga petroleum diumumkan oleh Guan Eng selepas banyak pihak mempersoalkan kerajaan yang mengenakan harga petrol yang tinggi sedangkan harga minyak mentah global menjunam sejak dua bulan lalu.

Harga minyak dunia susut dipacu oleh ketidaktentuan ekonomi dunia dan lebihan bekalan di pasaran.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan penetapan harga itu disifatkan oleh PDAM sebagai memerangkap pengusaha-pengusaha stesen minyak kerana mereka terpaksa beli pada harga yang tinggi tetapi menjual pada harga rendah.

Susulan itu, mereka mahu kerajaan mengkaji kaedah terbaik dengan mencadangkan Mekanisme Jaminan Margin Pengusaha (DGM) atau penjualan secara Konsainmen.

Di bawah sistem DGM, sekiranya harga minyak menurun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak.

Ini bermakna stesen minyak akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mereka mengalami kerugian.

Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak. – MalaysiaGazette