Home Ekonomi Ringgit positif pada hari terakhir 2018

Ringgit positif pada hari terakhir 2018

KUALA LUMPUR – Ringgit mengakhiri 2018 dalam keadaan positif, dengan dagangan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian yang berterusan terhadap mata wang negara sedang pesat membangun, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1500/1550 pada Jumaat lalu.

Seorang lagi peniaga berkata permintaan untuk unit tempatan bertambah memandangkan pelabur antarabangsa yang berurus niaga di Bursa Malaysia menukar mata wang masing-masing kepada ringgit pada hari terakhir dagangan, menyebabkan prestasi unit tempatan meningkat.

Bagaimanapun, peniaga berkata pelabur berkemungkinan masih berhati-hati terhadap laporan Indeks Harga Pengeluar dan data pengeluaran bekalan wang secara meluas bagi November yang dijangka dikeluarkan hari ini sebagai panduan pelaburan pada masa hadapan.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britian kepada 5.2600/2684 berbanding 5.2468/2548 pada Jumaat namun mengukuh berbanding euro kepada 4.7227/7300 daripada 4.7488/7550.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0310/0358 daripada 3.0336/0384 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7488/7543 daripada 3.7597/7653.

Pasaran ditutup esok bersempena cuti umum Tahun Baharu.

Pada 2017, mata wang tempatan mengakhiri tahun itu dengan ditutup tinggi berbanding dolar AS kepada 4.0440/0500 dan meneruskan momentum tersebut pada hari pertama dagangan 2018 pada 4.0370/0400 berbanding dolar AS. – MalaysiaGazette

+ posts