Home Nasional Singapura akan tangani isu dengan Malaysia secara tenang, konstruktif

Singapura akan tangani isu dengan Malaysia secara tenang, konstruktif

SINGAPURA –  Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, republik itu akan menangani semua isu-isu baharu, dan yang sedang dihadapi dengan Malaysia, secara “tenang dan konstruktif”.

Beliau berkata, Singapura dan Malaysia perlu menyelesaikan masalah-masah tertentu, dan pada masa yang sama memelihara hubungan secara keseluruhan.

“Cara untuk melakukannya adalah menerusi kesaksamaan dan saling menghormati, menjunjung komitmen antarabangsa, dan ‘rule of law’, “ katanya dalam amanat sempena Tahun Baru 2019 hari ini.

Lee berkata,  warga Singapura dari generasi lama pasti ingat bahawa “inilah cara kita menangani isu-isu lain dalam hubungan dua hala sebelum ini”.

“Setiap kali kita menghadapinya, kita akan bersatu sebagai satu negara, dan menyuarakan pendirian kita dengan tenang, tapi tegas,” katanya.

Perdana Menteri Singapura itu turut menyuarakan keyakinannya “kali ini juga rakyat Singapura akan bekerjasama rapat bagi memastikan hubungan dengan Malaysia stabil, dan generasi baru akan belajar bagaimana kita secara bersama melindungi kepentingan utama kini, semasa tinggal dalam suasana aman dan bersahabat dengan negara-negara jiran kita”.

Lee turut mengetengahkan beberapa isu yang timbul antara dua negara “kerana ia akan muncul dari semasa ke semasa antara dua negara berjiran yang memiliki ikatan yang erat oleh faktor sejarah, ekonomi, kebudayaan dan persaudaraan.

“Apabila Malaysia berhasrat menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi, Singapura berikan kerjasama untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Beliau mengakui bahawa pertikaian baharu berhubung sempadan maritim, dan berhubung ruang udara, terutama berkaitan peraturan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, “adalah lebih rumit untuk diselesaikan”.

Lee berkata Malaysia juga berhasrat mengkaji semula harga air dari Johor, isu lama yang dibangkitkan semula baru-baru ini, di mana pendirian Singapura mengenainya cukup jelas. – MalaysiaGazette