KUALA LUMPUR – Sekali lagi pengarah muda, Shalini Balasundaram membuktikan bukan sahaja berkebolehan mengarah bahkan berlakon dengan penghasilan telemovie terbaru arahan beliau bertajuk ‘Rail Payanangal’.
Telemovie itu yang akan menemui para peminatnya di Astro Vanavil (CH 201) dan Astro GO 4 petang esok bersempena sambutan Tahun Baharu 2019 bukan sahaja dihasilkan semata-mata untuk tujuan hiburan, sebaliknya mempunyai mesej berkaitan isu masyarakat.
Antara yang ditonjolkan dalam telemovie ini termasuk isu berkaitan penceraian dalam kalangan pasangan muda serta komplikasi dalam sesuatu hubungan apabila sudah tidak ada persefahamaan antara satu sama lain.
Dengan mesej yang tidak sepatutnya dipandang begitu ringan, Shalini yang juga penulis skrip Rail Payanangal mengakui beliau telah meluangkan masa yang lama bagi mendalami isu-isu yang menghantui segelintir masyarakat dalam bentuk filem.
“Pada saya, telemovie bukan ini hanya dihasilkan untuk tujuan komersil sahaja sebaliknya ianya perlu dihayati secara mendalam kerana komplikasi dalam sesebuah hubungan juga akan menyebabkan seseorang itu mengalami pelbagai permasalahan lain.
“Hakikatnya, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kita tidak seharusnya selalu melihat masalah seseorang dan terus membuat kesimpulan kita sendiri tanpa meletakkan diri di tempat orang itu.
“Mungkin dengan menonton filem Rail Payanangal ini, seseorang itu boleh mendapat sedikit sebanyak faedah kerana kadang-kadang ada perkara yang kita boleh sampaikan melalui penghasilan filem seperti ini.
“Sudah tentu para peminat boleh mengharapkan sebuah karya Shalini yang tentunya ada elemen romantik, komedi, emosi dalam satu filem. Saya pasti semua akan terhibur sambil mengambil sedikit iktibar darinya.
“Rail Payanangal juga turut dibintangi oleh muka lama seperti Kabil Ganesan yang pernah berlakon dalam filem saya sebelum ini, Thirudathey Papa Thirudathey. Muka baharu seperti Yawanes Robert, MS Karthik, Aahmuu Thiruyanam, Phonenix Dassan, Gunasegran Karuppiah, Kalaiselvy dan juga Susila Devi,” katanya.
Shalini berkata demikian selepas tayangan perdana Khamis lepas yang turut mendapat reaksi positif daripada mereka yang hadir dalam kalangan media, pengkritik serta artis dalam industri perfileman tempatan.
Mengulas lanjut mengenai Rail Payanangal, jelas Shalini, seperti biasa beliau mendapat inspirasi melalui keadaan sekeliling selain daripada pelbagai jenis pengalaman hidupnya sendiri.
Kata Shalini, setiap kali mendapat ilham, beliau dengan pantas akan mencatit setiap perkara serta imaginasi itu dalam bentuk skrip yang akhirnya akan difilemkan.
“Ini adalah sebuah filem genre romantik komedi berkaitan percintaan dua insan yang bertemu dalam perjalanan kereta api, bibit-bibit cinta akan secara perlahan bermula antara mereka tanpa mengetahui latar belakang.
“Watak gadis telah dilakonkan oleh saya dengan nama Sweeta ini berkaitan seorang gadis hidup berdikari selepas kematian bapanya, walaupun memiliki ijazah dalam bidang fisioterapi namun dirinya lebih fokus dalam mendalami perniagaan kedai jam milik mendiang bapanya.
“Manakala watak hero yang dibawakan oleh Kabil dengan nama Vijay pula memiliki sebuah hubungan yang kompleks bersama Risha (Yawanes). Menariknya, Vijay dan Risha sudah mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah dan sudah mula hidup sebumbung tanpa restu keluarga.
“Apa yang menjadi tanda tanya apabila hubungan Risha dan Vijay mula berantakan sehingga berpisah dan bibit-bibit cinta mula mekar antara Vijay dan Sweetha, saya pasti para peminat akan teruja dengan jalan cerita selepas itu” ujarnya.
Muzik telemovie ini dihasilkan oleh Jay Raggaveindra yang bukan calang-calang komposer manakala lagunya dinyanyikan oleh Thanneer Narayanan manakala sinematografi serta penyuntingan dilakukan Sathish Natarajan. – MalaysiaGazette