WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) masih lagi berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan Israel berhubung Syria dan Iran walaupun sebelum ini Presiden Donald Trump mengambil keputusan muktamad mengundurkan tenteranya dari Syria.
Agensi melaporkan, Setiausaha Negara, Mike Pompeo yang mengesahkan berita tersebut berkata, usaha menangani Iran di Asia Barat selain Daesh sentiasa menjadi keutamaan.
“Kerjasama kita dengan Israel tetap tidak ada apa-apa perubahan. Peperangan memerangi Daesh dan keganasan akan diteruskan.
“Usaha-usaha ke arah menangani keganasan Iran diteruskan, komitmen kita dalam menjaga kestabilan Asia Barat juga akan diteruskan tanpa sebarang halangan.
“Perlindungan Israel diteruskan sebagai mana sebelum keputusan pengunduran tentera AS dibuat,” katanya kepada media semalam.
Pompeo mengulas kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang merancang untuk meneruskan perbincangan dengan AS bagi meningkatkan kerjasama risikan dan operasi di Syria dan lokasi lain untuk menghalang keganasan Iran.
Bulan lalu, Trump mengumumkan beliau akan mula mengundurkan kira-kira 2,000 tentera AS dari negara terjejas perang Syria, namun Rumah Putih enggan memaklumkan tempoh untuk berbuat demikian.
Beberapa ahli Republikan parti Trump mengutuk hebat presiden itu dengan berkata, mereka tidak diberi taklimat awal dan tindakan untuk mengukuhkan penguasaan Rusia dan Iran yang kedua-duanya menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad. – MalaysiaGazette