KUALA LUMPUR – Kejatuhan indeks sektor pembuatan Malaysia ke paras terendah dalam sejarah menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak, tambahan pula apabila harga minyak dunia masih terus merosot.
Ini ditambah dengan harga komoditi sawit yang masih belum pulih serta tiada kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menampung perbelanjaan kerajaan seperti sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berdoa supaya ekonomi Malaysia tidak jatuh ke dalam kemelesetan atau krisis ekonomi pada tahun ini.
“Untuk rekod, indeks Indeks Pengurus Pembelian Nikkei (PMI) yang sama ini di bulan Novermber akhir tahun 2017 ialah pada tahap paling tinggi di dalam 43 bulan di bawah kerajaan BN.
“Kini, sektor terbesar ekonomi negara kita pada tahap paling lemah dalam sejarah. Harga minyak dunia jatuh. Harga sawit rendah. Tiada lagi GST untuk membiayai hasil kerajaan seperti dahulu.
“Adakah ini juga petanda bahawa banyak lagi cukai tersembunyi dari kerajaan PH akan muncul tidak lama lagi untuk senyap-senyap tibai kita?
“Mungkin indeks sektor pembuatan paling rendah dalam sejarah ini adalah antara “tanda-tanda baik” untuk ekonomi yang dimaksudkan oleh Guan Eng dalam perucapan dia semalam?
“Apa-apa pun, saya berdoa untuk ekonomi negara tidak jatuh ke dalam kemelesetan ataupun krisis ekonomi dalam tahun ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan sinis berkata, “sekurang-kurangnya, BN telah disingkirkan” sambil mengepil pautan berita berkenaan kejatuhan indeks PMI itu di Twitternya.
PMI yang menjadi petunjuk kepada prestasi pengeluaran Malaysia jatuh kepada 46.8 pada Disember berbanding 48.2 pada bulan sebelumnya sekaligus merekodkan paras terendah sejak kaji selidik itu dimulakan pada Julai 2012.
Menurut HIS Markit yang mengumpul kaji selidik berkenaan, kejatuhan teruk dalam pengeluaran dan perniagaan baharu menyebabkan indeks tersebut jatuh ke paras negatif pada Disember.
Dapatan terbaharu itu konsisten dengan kemerosotan pasaran dalam sektor pengilangan dipacu oleh pengambilan pekerja yang tidak berubah.
Sektor pengilangan juga mencatatkan kemeruncupan pada setiap bulan dalam suku keempat 2018.-MalaysiaGazette