Home Sukan Stadium Hoki Bukit Jalil rosak akibat pemasangan tak sempurna

Stadium Hoki Bukit Jalil rosak akibat pemasangan tak sempurna

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini mengesahkan bahawa Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang ditutup sejak dua hari lalu mengalami kerosakan padang.

PSM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati pemasangan yang dilakukan oleh tidak sempurna menyebabkan kemudahan itu tidak dapat digunakan pada masa ini.

“Ini ditambah pula dengan kurangnya pendedahan dan latihan kepada kakitangan PSM oleh pembekal dalam keperluan penyelenggaraan padang.

“PSM telah berhubung dengan pihak pembekal dan mereka bersetuju untuk menggantikan padang secara percuma kerana ia masih dalam tempoh jaminan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu Tmbalan Presiden dan Pengerusi Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), George Koshy berkata Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akan ditutup bermula 11 Februari depan untuk kerja-kerja baik pulih selepas mengalami kerosakan.

Difahamkan kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa enam minggu dengan kos baik pulih itu masih di bawah jaminan kontraktor.

Sebelum itu juga, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal yang meminta PSM memberi maklum balas segera sama ada dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dapat digunakan untuk Final Siri Hoki yang berlangsung dari 26 April sehingga 4 Mei tahun ini.

Ini selepas padang dua dilaporkan tidak dapat digunakan untuk saingan Liga Hoki Malaysia bermula dengan perebutan Piala Tan Sri P Alagendra bermula Khamis ini berikutan permukaan padang yang tidak rata.

Kenyataan PSM itu juga berkata, kedua-dua padang tersebut akan diserahkan semula kepada syarikat pembekal pada 11 Februari 2019 untuk kerja-kerja penggantian dan dijangka siap pada 31 Mac 2019.

“PSM akan mengambil langkah terbaik untuk memastikan semasa proses penyerahan semula.

“Kakitangan PSM akan diberi pendedahan dan latihan sewajarnya berkaitan penyelenggaraan padang agar bertepatan dengan piawaian syarikat pengeluar,” katanya.

PSM juga memberi jaminan akan mewujudkan jalinan  komunikasi yang lebih baik dengan pengguna yang menggunakan kemudahan sukan itu.

“PSM  telah mengadakan sesi dialog dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MHC.

“Pihak pembekal akan berhubung terus dengan MHC dan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk mendapatkan semula Persijilan Antarabangsa yang telah diterima sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette