Home Nasional Asteroid akan hentam bumi tidak benar

Asteroid akan hentam bumi tidak benar

NASA mengumumkan asteroid gergasi yang dinamakan 2002 NT7 dikatakan bakal memasuki atmosfera bumi.

KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menafikan laporan berita yang mendakwa asteroid bakal menghentam bumi pada 1 Februari ini.

Asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran ‘2002NT7’ telah dijumpai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pada tahun 2002.

Angkasa berkata, NASA telah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid tersebut akan menghentam bumi pada 1 Februari ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus.

Tetapi, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil.

“Angkasa juga mengesahkan perkara ini hasil semakan dan penelitian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak bimbang dan tidak terpengaruh dengan berita yang tular serta lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat.

Sebelum ini, NASA mendakwa batuan angkasa itu dijangka menghentam bumi pada 2019 pada kelajuan 60,000 kilometer sejam.

Mengikut perkiraan NASA, asteroid itu dijangka menghentam bumi iaitu pada 1 Februari.

Bagaimanapun, ramalan mengenai asteroid 2002 NT7 itu kemudian ditarik serta-merta oleh pihak NASA.

Tambah NASA, 2002 NT7 bakal melintasi bumi tanpa terjadi sebarang pelanggaran, iaitu dijangka pada 13 Januari ini.

Bagaimanapun,  tindakan NASA yang secara tiba-tiba mengumumkan bahawa ia bukanlah satu ancaman, juga telah menjadi topik perdebatan hangat. – MalaysiaGazette