Home Politik Hentikan perang mulut, lahirkan Dr Mahathir yang baharu

Hentikan perang mulut, lahirkan Dr Mahathir yang baharu

Mohd Muzammil Ismail

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang saling perang mulut selepas perbahasan Persidangan Agung Tahunan minggu lalu diminta mengenepikan segala perbezaan pandangan dan bertenang.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin digesa terus sepakat dan kembali memperkasakan parti itu.

Exco Armada, Mohd Muzammil Ismail berkata, Bersatu tidak mempunyai banyak masa dan sudah tiba masanya melahirkan 1001 Dr Mahathir yang baharu.

“Yang paling utama hari ini adalah survival mengurus kejayaan. Tidak usahlah sampai hendak memaki hamun atau memanggil orang lain dengan label itu dan ini seperti budak mentah dan macai hanya disebabkan berbeza pendapat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Muzammil menyifatkan perang mulut pasca perbaharan perhimpunan tempoh hari tidak ubah seperti pertembungan antara kaum muda dan kaum tua.

“Sememangnya ketara ideologi kedua-dua kem. Diringkaskan cerita kedua-dua kem berperang media. Ada satu kem kata perlu beri projek tender pada Ketua Bahagian. Ada satu kem kata jangan jadi pengemis tender, buat senyap-senyap tanpa perlu diangkat menjadi perbahasan.

“Dalam perbahasan sebegini, tak semestinya ada satu kem yang betul, manakala satu kem lagi salah. Ada kalanya, dua-dua kem betul.

“Jadi, kita sebagai ahli parti yang sentiasa terhad pemahaman ini, raikanlah saja perbezaan pendapat. Lepas itu, gunakan akal yang dikurniakan pada kita untuk timbang tara setiap pendapat ini. Buatlah ijtihad sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan parti terus bergerak memartabatkan perjuangan, parti itu memerlukan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri sekurang-kurangnya 10 hingga 15 orang.

Mereka itu perlu dipilih dalam kalangan pengamal undang-undang, pengurusan, audit, wakil sayap parti, wakil dari tiap-tiap negeri.

Pasukan ini adalah polis parti yang perlu senantiasa cekap dan bertindak cepat mengurus laporan disiplin yang diterima.

Malah, mereka ini juga yang bertindak menapis kualiti kemasukan pimpinan UMNO ke dalam parti.

Bersatu, tambahnya, perlu membentuk dan melatih kader-kader penerangan yang berilmu, bertindak sebagai persisik maklumat, membalas dan menjelaskan isu.

Penyusunan jentera penerangan ini perlu dibentuk segera supaya rakyat nampak kerajaan sedang melaksanakan janji-janji manifesto.

“Tanpa strategi dan pasukan yang menyampaikan dengan baik semuanya seperti tiada kompas arah. – MalaysiaGazette