PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan orang ramai dan komuniti maritim termasuk warga Maritim Malaysia supaya menghindari kawasan pantai di perairan pantai Timur Semenanjung sehingga Ahad ini, susulan amaran ribut tropika Pabuk.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, amaran cuaca buruk (jingga) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) pada 11.45 pagi hari ini melaporkan ribut tropical Pabuk kini berada di kedudukan 6.1 darjah utara, 104.5 darjah timur dan dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat laut menghampiri Segenting Kra (Sempadan Malaysia-Thailand)
“Semua peringkat komuniti maritim disaran mengambil langkah-langkah sewajarnya terhadap keselamatan bot-bot dan kapal-kapal milik masing-masing. Mereka dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti-aktiviti seperti menangkap ikan, memancing, rekreasi pelancongan dan lain-lain berikutan laporan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh JMM.
“Anggota-anggota Maritim Malaysia yang berada di lapangan dikehendaki dari semasa ke semasa menentukan aset-aset kerajaan dan bot-bot tahanan di bawah naungan masing-masing diletak di bawah pengawasan agar terhindar daripada ancaman cuaca buruk yang sedang melanda ini,” katanya.
Mohd Zubil berkata, amaran cuaca buruk yang dikeluarkan JMM itu boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 60 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter di peraraian Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Jarak ribut ini dari bandar Kuala Terengganu adalah 179 kilometer dan Kota Bahru adalah 243 kilometer,” katanya.
Mohd Zubil berkata, amaran tersebut yang berkuat kuasa sehingga esok turut menyatakan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan aktiviti pelantar minyak.
“Angin kencang tersebut boleh mengakibatkan kerosakan kepada struktur binaan yang tidak kukuh, risiko pokok tumbang, bumbung terbang, limpahan air laut dan hujan berterusan yang boleh membawa kejadian tanah runtuh,” katanya.
Mohd Zubil berkata, komuniti maritim diminta supaya sentiasa mematuhi amaran cuaca buruk yang boleh dirujuk di laman sesawang JMM bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini setiap tiga jam
Aset-aset Maritim Malaysia turut diletak di bawah siap siaga dan orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi hotline 999 atau Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) 03-89413140. – BERNAMA