Home Dunia Indonesia gantung hantar pelajar ke Taiwan selepas dipaksa jadi buruh kilang

Indonesia gantung hantar pelajar ke Taiwan selepas dipaksa jadi buruh kilang

Gambar hiasan

JAKARTA- Indonesia membuat keputusan untuk menggantung penghantaran pelajar melakukan latihan industri di Taiwan susulan beberapa laporan berita yang mengatakan ratusan pelajar dari negara tersebut dipaksa membuat kerja-kerja buruh manual di kilang-kilang di Taiwan.

Media Taiwan yang memetik kenyataan seorang pegawai, Ko Chin-en yang mendedahkan terdapat satu kes yang mana pelajar-pelajar Indonesia hanya dibenarkan pergi ke kelas selama dua hari seminggu sahaja dan mempunyai satu hari rehat manakala bakinya dipaksa untuk bekerja di sebuah kilang.

Mereka dipaksa untuk membungkus 30,000 kanta lekap selama 10 jam bagi setiap syif.

Pelajar-pelajar berkenaan menurut Ko bekerja dari jam 7.30 pagi sehingga 7.30 malam dan hanya mempunyai dua jam rehat sahaja.

Mereka juga dipaksa berdiri selama 10 jam sehari untuk membungkus kanta lekap tersebut.

Pelajar-pelajar tersebut yang kebanyakannya Muslim turut diberikan makanan yang mengandungi babi.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Armantha Nasir dalam satu kenyataan berkata, Pejabat Perdagangan Indonesia di Taipei “telah meminta penjelasan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat perkara tersebut”.

Skim latihan industri itu telah berlangsung sejak 2017.

Penggantungan penghantaran pelajar di bawah skim tersebut akan berlangsung “sehingga pengurusan lebih baik bersetuju”, katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.

Pejabat perdagangan juga menurut Nasir, telah meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang Taiwan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pelajar Indonesia yang mengikuti program tersebut.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 6,000 pelajar yang ketika ini berada di Taiwan dan kira-kira 1,000 daripadanya menyertai skim latihan industri dengan beberapa universiti di negara tersebut bagi tempoh 2017-2018.- MalaysiaGazette