Home Nasional Ka Siong terngiang-ngiang janji PH turun harga petrol

Ka Siong terngiang-ngiang janji PH turun harga petrol

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden MCA masih terngiang-ngiang janji oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng yang mahu menurunkan harga minyak jika berjaya memegang pemerintahan Putrajaya.

Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Anwar pernah membuat janji itu semasa sambutan Tahun Baharu Cina di Wangsa Maju pada tahun 2012 lalu.

Kata Anwar: “Hari ini kita menang, esok harga minyak turun!”

Pada 23 Disember 2018, Guang Eng yang juga Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2019, harga bahan api termasuk RON95 akan lebih rendah.

Namun, ketika rakyat Malaysia meraikan Tahun Baharu 2019, Guan Eng memaklumkan pelaksanaan apungan harga RON95 ditangguhkan.

Ka Siong berkata, sehingga hari ini pun harga RON95 masih belum mampu diturunkan sebaliknya minyak itu terus dicukai secara senyap oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendakwa kerajaan mengutip lebih RM100 juta setiap minggu berikutan penurunan harga minyak dunia sejak dua bulan lalu.

“Pada 31 Disember 2018, Guan Eng kata tunggu mesyuarat kabinet hari Rabu (semalam) yang turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tapi hari ini sudah hari Khamis dan masih tiada keputusan dibuat. Pusingan u atas kenyataan sendiri?” soalnya.

Tambahnya, pemimpin PH memang suka berjanji dan mengeluarkan kenyataan popular tetapi hakikatnya setiap yang diperkatakan itu bukan mudah untuk dilaksanakan.

Ia seperti janji-janji yang dibuat ketika berkempen di dalam PRU-14 yang mana semuanya manis dan indah belaka termasuk isu harga minyak yang masih gagal ditangani.

Katanya, pasti kerajaan sedang tersepit dengan janji-janji ditaburkan.

“Berilah seribu alasan sekali pun, rakyat tetap menuntut janji mereka. Jika tidak, kerajaan PH akan kekal digelar sebagai kerajaan penipu. Menang pilihan raya dengan cara menipu rakyat. Tentunya PH tidak mahu gelaran itu melekat kepada mereka sepanjang hayat,” katanya. – MalaysiaGazette