
KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan kena kaji semula cadangan cukai tanah yang membebankan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Senator Datuk Husam Musa berkata, kajian semula perlu lebih-lebih lagi selepas kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah bersetuju dengan pembayaran royalti petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan kerajaan Kelantan menaikkan pelbagai cukai baru berkaitan tanah dan urusan tanah bermula tahun ini.
“Sebagai orang pertama bersama Tok Guru Nik Aziz memperjuangkan tuntutan royalti Kelantan, saya bersyukur dgn langkah demokratik Kerajaan Pusat PH pimpinan Tun (Mahathir Mohamad) bersetuju dengan bayaran langsung ini.
“Pimpinan dan pengikut Pas harus akur dengan pendekatan mulia Kerajaan PH dan menghentikan segala tohmahan buruk selama ini ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Buat Terengganu, Husam menasihati kerajaan negeri itu boleh menyusun program yang membahagiakan rakyat terbanyak melalui hasil yang sama.
“Pimpinan dua negeri ini harus menyemat ingatan – wang dari khazanah bumi Kelantan dan Terenganu ini adalah hak rakyat. Kerajaan negeri hanyalah care taker,” katanya lagi.- MalaysiaGazette