Home Seni Hidup NGO, persatuan dapat sumbangan kenderaan dari TNB

NGO, persatuan dapat sumbangan kenderaan dari TNB

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang enam kenderaan terpakai yang telah diubah suai kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kelab, menjadikan sejumlah 18 kenderaan diserahkan sepanjang tahun ini.

Sumbangan dua kenderaan pacuan empat roda (4X4), tiga van jenazah dan sebuah van penumpang adalah selari dengan peranan TNB sebagai sebuah syarikat prihatin dan mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Korporat (CR) TNB dan diyakini akan dapat memudah dan melancarkan urusan harian NGO, persatuan dan kelab yang berkaitan.

Penyerahan kenderan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, minggu lalu.

Penerima van jenazah dan van penumpang adalah Kariah Masjid Nur Taqwa Kg. Tandop, Baling, Kedah; Kariah Masjid Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan; Kariah Masjid Al-Ansar Taman Keramat, Kuala Lumpur dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kg. Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Persatuan Bomba Sukarela Malaysia (MVFRA) dan Kelab Rekreasi dan Kebajikan Jabatan Pertahanan Awam masing-masing menerima kenderaan 4X4. – MalaysiaGazette