Home Dunia Trump sedia jumpa Jong-un dalam masa terdekat

Trump sedia jumpa Jong-un dalam masa terdekat

Kim Jong-un dan Donald Trump semasa pertemuan mereka kali pertama di Singapura pada Jun 2018. foto Reuters

WASHINGTON – Presiden Donald Trump memaklumkan telah menerima surat dari pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan kemungkinan akan menemui beliau dalam tempoh terdekat.

Bercakap kepada pemberita di White House, Trump mempertahankan usaha Amerika Syarikat untuk mengadakan rundingan dengan Jong-un.

Menurutnya, jika bukan langkah yang diambil itu, dunia akan menyaksikan peperangan besar di Asia.

“Saya bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Saya tidak perlu kelam-kabut. Yang saya tahu tiada roket, tiada ujian lagi,” katanya yang merujuk kepada langkah Korea Utara yang menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu sejak separuh kedua tahun 2017.

Trump juga memberitahu, beliau telah mendengar ucapan Jong-un sempena Tahun Baharu 2019.

“Mereka benar-benar mahu melakukan sesuatu. Sekarang ini, adakah bermakna ia akan dilakukan, siapa tahu? Kesepakatan perjanjian, anda tidak pernah tahu, tetapi saya memberitahu anda, kami telah mewujudkan hubungan yang sangat baik dengan Korea Utara.

“Kami mungkin akan mengadakan pertemuan lain, beliau ingin bertemu, saya ingin berjumpa. Kami akan menetapkannya, kami akan menetapkan tidak berapa lama lagi,” kata Trump.

Jong-un telah berikrar untuk mengakhiri program nuklear di Semenanjung Korea semasa pertemuan mereka pada Jun tahun lalu di Singapura namun setakat ini progresnya sangat perlahan.

Pemimpin Pyongyang itu dalam ucapannya sempena Tahun Baharu 2019 berkata, beliau sedia untuk bertemu Trump pada bila-bila masa tetapi memberi amaran akan melakukan sesuatu jika Amerika Syarikat meneruskan sekatan. – MalaysiaGazette