Home Ekonomi China-AS adakan mesyuarat peringkat menteri 7-8 Jan

China-AS adakan mesyuarat peringkat menteri 7-8 Jan

BEIJING – China dan Amerika Syarikat akan mengadakan perbincangan perdagangan peringkat menteri di Beijing pada 7-8 Januari selepas kedua-dua pihak dilihat berhasrat untuk menamatkan pertikaian menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pasaran kewangan global.

Kedua-dua negara berkenaan terperangkap dalam peperangan perdagangan sejak beberapa tahun yang lalu dan menjejaskan aliran perdagangan bernilai ratusan bilion dolar serta mencetuskan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global.

Pasukan kerja yang diketuai Timbalan Wakil Perdagangan A.S. Jeffrey Gerrish akan melawat China untuk mengadakan “perbincangan positif dan konstruktif” dengan rakan sejawatnya, kata Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan di laman webnya.

Kementerian itu berkata, kedua-dua pihak “mengesahkan” tarikh berkenaan dalam satu perbualan telefon pada pagi Jumaat namun tidak memberikan butiran lain.

Pada sidang kemuncak di Argentina lewat tahun lalu, Presiden A.S. Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bersetuju menangguhkan keputusan untuk mengenakan tarif selama 90 hari bermua 1 Disember bagi memberi ruang untuk mereka berunding semula. – Reuters