Home Nasional Kes pinda laporan audit 1MDB: Najib dan Arul Kanda dibicara bersama

Kes pinda laporan audit 1MDB: Najib dan Arul Kanda dibicara bersama

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dibicarakan bersama.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa sebutan kes itu.

Sehubungan itu, pertuduhan terhadap Arul Kanda, 42, dibacakan semula dan beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Sri Ram turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan kes.

Kes Arul Kanda sebelum ini didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob dan ketika sebutan kes itu hari ini, beliau membenarkan kes Arul Kanda dipindahkan di hadapan Hakim Azura untuk dibicara bersama kes bekas perdana menteri.

Pada 12 Dis 2018, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan tersebut bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA