Home Utama M. Manogran calon PH di PRK Cameron Highlands

M. Manogran calon PH di PRK Cameron Highlands

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kiri) memperkenalkan calon Pakatan Harapan, M.Manogaran (tiga kanan) bagi parlimen Cameron Highlands selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan wakil DAP, M. Manogran diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat kepimpinan PH sejak awal pagi tadi tanpa sebarang bantahan.

“Kita telah tentukan siapa yang akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands.

“Calon kita ialah Manogran iaitu calon lama yang bertanding di situ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu

“(Dengan yakin) Insya-Allah kita akan menang dalam pilihan raya kecil ini, ” katanya pada sidang media selepas mempergerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PH di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Pada 19 Disember 2018, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh PRK Cameron Highlands telah ditetapkan pada 26 Januari ini.

MGF19122018_PC PC SPR_09
Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) memutuskan wakil DAP, M.Manogran akan diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Azhar berkata penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari.

Pilihan Raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah.

Ia selepas calon DAP, M. Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan calon MIC Sivarraajh (Barisan Nasional) pada PRU14 Mei lalu.

Dr Mahathir juga berkata, pihaknya bersedia berdepan dengan siapa sahaja calon pembangkang dan optimis calon DAP itu merampas kerusi P078 pada 26 Januari ini.

“Kita tak tahu siapa akan bersaing dengan kita, dengar cerita macam-macam.

“Walau siapa pun yang akan bertanding kita percaya kita dapat mengatasi pencabar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands 26 Januari 2019

ARTIKEL BERKAITAN: TERKINI : Penamaan Calon 12 Jan, Undi 26 Jan – PRK Cameron Highlands

ARTIKEL BERKAITAN: DAP berhasrat bertanding PRK Cameron Highlands – Guan Eng