Home Politik Saman SR, kata sudah menang, kenapa masih pungut derma?

Saman SR, kata sudah menang, kenapa masih pungut derma?

Hanipa Maidin
Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Sebelum ini Pas menguar-uarkan telah menang kes saman Sarawak Report di London, tetapi pada masa sama masih memungut derma untuk membiayai kos guaman bagi perbicaraan kes berkenaan.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang secara sinis menyindir tindakan Pas itu berkata, jika benar Pas telah menang kes itu, jumlah saman yang mereka perolehi jauh lebih mencukupi untuk membayar kos guaman.

“Jumlah saman yang Pas bakal terima dari kes itu bukan sekadar cukup untuk menampung kos kes berkenaan, bahkan Pas mampu memberi derma, bukan meminta derma.

“Kes saman antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown hakikatnya masih berjalan dan akan disambung perbicaraannya pada April ini,” katanya dalam status Facebook beliau semalam.

Semalam, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos membayar peguam di United Kingdom (UK) yang perlu dijelaskan sebanyak RM400,000 bagi kes saman Sarawak Report.

Setakat ini katanya, wang terkumpul sebanyak RM69,000 dan masih memerlukan kira-kira RM331,000 lagi.

Menurut Idris, Pas sudah membelanjakan RM2.5 juta untuk kos guaman di sana dan menjangkakan masih memerlukan jumlah wang yang banyak untuk meneruskan kes saman tersebut.

Abdul Hadi menyaman Claire kerana menuduh beliau menerima RM90 juta dari Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Perdana Menteri.

Mohamed Hanipa membuat andaian, sekiranya kes itu dibicarakan dan tidak ditarik balik, Abdul Hadi tentunya sudah bersedia 100 peratus untuk memberi keterangan di mahkamah di London dan siap siaga pula untuk disoal balas oleh peguambela Sarawak Report.

“Saya pernah baca transkrip perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Singapura, (mendiang) Lee Kuan Yew menyaman sebuah majalah antarabangsa (FEER) di mahkamah di negara itu melibatkan kes fitnah.

“Mendiang Kuan Yew yang hebat dan juga mantan peguam pun saya lihat “teruk” di “grilled” oleh Geoffrey Robertson QC di mahkamah negaranya sendiri.

“Begitu juga mantan Presiden Singapura, Goh Chok Tong pernah disoal balas dengan begitu “brutal” oleh George Carman QC dalam kes fitnah melibatkan saman antara mantan Perdana Menteri itu dengan mendiang Joshua Benjamin Jeyaretnam,” katanya.

Beliau berkata, kes itu juga dibicarakan di Singapura dan hanya sekadar baca transkrip George Carman menyoal balas Chok Tong pun bulu romanya sudah meremang.

Bagaimanapun, Mohamed Hanipa yakin, Abdul Hadi mungkin tidak ada masalah jika disoal balas oleh peguambela yang mewakili Sarawak Report di mahkamah di London nanti. – MalaysiaGazette