Home Utama TMJ belum lahir masa itu

TMJ belum lahir masa itu

Mahathir
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai tidak memahami semangat Persekutuan.

Dr Mahathir berkata, dalam bidang kuasa Persekutuan, ia tidak meletakkan sebarang larangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan kenyataan terhadap Kerajaan Negeri.

“Dia (TMJ) tidak faham tentang Persekutuan, barangkali masa itu dia belum dilahirkan, jadi dia tak tahu lah. Tapi saya lahir masa itu.

“Persekutuan bermakna menguasai seluruh negara dan kata itu tak boleh ini tak boleh tak ada.

“Kita ada senarai apa yang dikuasai oleh Persekutuan, apa yang dikuasai oleh Negeri.

“Tak ada disebut bahawa Persekutuan (tak boleh) keluar kenyataan, Negeri buat kenyataan maka kita tak boleh komen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tunku Ismail Rabu lalu di akaun Facebooknya yang menegur Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti daripada mempolitikkan setiap isu dan mula mentadbir negara.

Tunku Ismail juga menegur semua ahli politik sama ada PH mahupun Barisan Nasional (BN) di negara ini agar berhenti daripada ‘berperang’ sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Ditanya tentang penerimaan Istana Johor terhadap pentadbiran Dr Mahathir sejak lapan bulan, beliau sebaliknya menyindir Tunku Ismail sebagai tiada kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Dia tak ada jawatan apa-apa,” katanya. – MalaysiaGazette