Home Nasional Harga RON95 turun bukti dakwaan pembangkang betul

Harga RON95 turun bukti dakwaan pembangkang betul

Semasa tinjauan Malaysia Gazette di stesen minyak dengan harga baru di Technology Park Malaysia, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 05 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Penurunan harga petrol RON95 oleh kerajaan Pakatan Harapan bukan disebabkan oleh kepakaran pemimpin kerajaan tetapi hasil desakan oleh parti-parti pembangkang.

Malah, keputusan yang dibuat itu juga membuktikan kerajaan telah mengambil hampir 30 sen seliter sebagai cukai minyak selama dua bulan lalu.

Siri 13
Carta harga minyak dunia

“Harga minyak dunia turun jika dibandingkan bulan Oktober ke Disember 2018. Harga minyak satu barrel (tong) berdasarkan harga minyak dunia telah jatuh daripada USD82 kepada USD60 pada bulan Disember. Terkini, harga minyak satu barrel adalah sekitar USD 50.

“Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 4 Januari 2019, harga runcit RON95 turun 27 sen kepada RM 1.93 seliter. Jadi benarlah bahawa rakyat telah membayar hampir 30 sen seliter sebagai “cukai minyak” kepada kerajaan sejak bulan November 2018,” kata Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama dua bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak tetapi kerajaan memilih untuk diam membisu dan menindas rakyat.

“Namun begitu, rakyat bernasib baik apabila mereka masih ada parti-parti pembangkang yang mengutarakan
hal ini secara matang dan berfakta kepada kerajaan.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan kerana tunduk kepada desakan rakyat untuk menurunkan harga runcit minyak, bersesuaian dengan penurunan harga minyak dunia,” katanya yang menggesa Lim Guan Eng menjelaskan kepada rakyat isu cukai minyak yang terpaksa ditanggung oleh rakyat selama 2 bulan sejak November lalu.

Jelasnya, kerajaan dan Menteri Kewangan perlu bersikap telus dan berkongsi dengan rakyat tentang pengiraan dalam penetapan harga runcit minyak secara mingguan kerana tidak mahu berlaku lagi salah faham membabitkan isu kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. itu lah untongnya rakyat ada pembangkang yang peka dan cerdik ekonomi . kalau jadi pembangkang ugama saja.tak cukup.

Comments are closed.