Home Nasional Lokman dakwa kabinet, AG cuba ‘palsukan’ kematian Adib

Lokman dakwa kabinet, AG cuba ‘palsukan’ kematian Adib

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Beberapa menteri didakwa meminta kerajaan ‘memalsukan’ laporan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Itu dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sambil menamakan salah seorang daripanya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy.

“Beberapa individu dalam kabinet, antaranya Waythamoorthy, telah meminta supaya laporan ini dipalsukan dan ditukar menjadi Adib meninggal dunia kerana accident ataupun dilanggar kenderaaan.

“Adakah saudara-saudara nak membenarkan perkara ini berlaku di negara kita?” soalnya kepada penyokongnya di hadapan Pasaraya Sogo malam tadi.

Sebelum itu, Lokman membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana didakwa terlibat dalam usaha ‘menyorok’ laporan kematian Muhammad Adib dalam rusuhan di kuil Seafield baru-baru ini.

Lokman menegaskan, polis sebelum ini menyatakan Muhammad Adib telah diserang dan empat individu disiasat kerana cubaan membunuh tapi kini ditukar kepada inkues mahkamah menentukan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu seperti diumumkan Muhyiddin.

Polis juga telah memohon daripada Jabatan Peguam Negara agar kes itu ditukar daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ini sebenarnya yang patut berlaku dan AG sepatutnya membenarkan dan meluluskan permohonan pihak polis,” katanya.

Namun, dakwanya, Tommy telah mengarahkan inkues dilakukan terhadap kematian Muhammad Adib selepas berbincang dengan Muhyiddin dan mendapat persetujuan Mahathir.

“Ini bermakna orang yang sudah ditangkap dan sudah didakwa di mahkamah di bawah cubaan membunuh, sekarang orang ini ada cukup masa untuk melarikan diri ke mana-mana negara yang mengharamkan hukuman mati,” kata Lokman lagi.- MalaysiaGazette