Home Ekonomi Mohamed Haniff dilantik Pengerusi Perda

Mohamed Haniff dilantik Pengerusi Perda

Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang baharu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pelantikan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Haniff adalah pemegang Ijazah Sarjana dari London School of Economics (LSE) dan juga seorang peguam, katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina turut mengumumkan pelantikan Profesor Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal MARA (UniTEK MARA) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi selaku Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd.

Sukiman sebelum ini terbabit dengan Penyelidikan dan Pembangunan seperti Offshore Oil Production EPMI, Terengganu dan Pembangunan Kualiti Air, Jabatan Alam Sekitar, manakala Akhramsyah Muammar Ubaidah berkhidmat selama 16 tahun sebagai jurutera, perunding dan pengurusan sebuah syarikat petroleum antarabangsa.

Dalam kenyataan itu, tidak dinyatakan tarikh pelantikan terbabit berkuat kuasa dan tempoh mereka memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette