Home Nasional Ribut tropika Pabuk tidak lagi ancam negara

Ribut tropika Pabuk tidak lagi ancam negara

KUALA LUMPUR –  Jabatan Meteorologi Malaysia menamatkan amaran ribut tropika Pabuk hari ini setelah kedudukan ribut tropika itu dilihat semakin menjauhi perairan Malaysia dan tidak lagi memberi ancaman kepada negara.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata, ribut tropika itu kini berada di kedudukan 8.9°U 98.2°T dan dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat laut menuju Teluk Benggala.

“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di kawasan perairan Phuket,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata jarak ribut itu dari bandar Arau, Perlis adalah 362 km dan Langkawi, Kedah (345 km).

Alui berkata, kenyataan yang dimuat naik di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia itu merupakan makluman terakhir mengenai ribut tropika Pabuk. – MalaysiaGazette