Home Nasional Tun Dr Mahathir adalah inspirasi dunia – Maszlee Malik

Tun Dr Mahathir adalah inspirasi dunia – Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja aset negara ini sebaliknya cetusan idea, inisiatif serta pendapat beliau telah menjadi inspirasi kepada dunia untuk dicontohi.

Antaranya pengakuan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AliBaba, Jack Ma bahawa inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) memberi inspirasi kepadanya untuk membangunkan Kumpulan Alibaba (Alibaba) yang kini menjadi syarikat e-dagang utama dunia.

Selain daripada Jack Ma, seorang lagi yang telah menjadikan Dr. Mahathir sebagai sumber inspirasi sehingga membawa pertumbuhan pesat di China ialah sahabat baik beliau selama 24 tahun,  Professor Xu Sizhong.

Melalui persahabatan itu, Professor Xu telah membukukan hubungan itu yang banyak menyentuh bagaimana visi dan misi Dr Mahathir dalam membawa Malaysia ke mata dunia itu sebenarnya menjadi kenyataan.

Malah setelah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4, beliau sekali lagi berjaya menjadi Perdana Menteri ke-7 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berpeluang untuk melancarkan buku bertajuk ‘Tun M dan Saya’ oleh Xu hari ini melahirkan rasa terujanya, bukan sahaja tentang karya tersebut sebaliknya hubungan terbina antara Xu dan Tun Mahathir itu.

“Saya belum lagi habis membaca buku ‘Tun M dan Saya’ ini tetapi apa yang saya boleh simpulkan daripada apa yang saya fahami ini adalah tentang hubungan akrab yang terbina antara mereka berdua ini sejak 1995 lagi.

“Pada pendapat saya, Professor Xu adalah antara yang paling bertuah kerana dapat berkawan dengan ‘Bapa Permodenan’ untuk tempoh sehingga hampir 24 tahun ini, pastinya banyak yang telah dipelajari oleh beliau.

“Kini saya juga faham mengapa Professor Xu menganggap Tun Mahathir adalah mentornya dalam semua aspek kerana Tun juga adalah mentor kepada saya selama ini yang tidak henti-henti memberikan saya nasihat serta tunjuk ajar paling berguna.

“Saya juga diajar bagaimana untuk mengendalikan kementerian saya dengan begitu baik serta cekap sekali. Saya juga sangat teruja dan mendapat inspirasi berharga apabila mengetahui pelbagai cerita dalam buku ini.

“Antaranya tentang bagaimana Tun sangat menyukai dan menyintai pendidikan terutamanya dalam bidang Matematik. Professor Xu yang juga merupakan pakar dalam abacus telah banyak mempelajari pelbagai perkara daripada beliau sebenarnya.

“Selain daripada itu, Tun juga banyak menitikberatkan budaya membaca yang kini juga menjadi salah satu yang fokuskan dalam kementerian saya. Tun sendiri suka membaca dan itu adalah antara resipi kejayaan beliau sehingga hari ini.

“Juga anda perlu hayati dalam buku ini tentang sikap dedikasi beliau dalam apa jua yang dilakukan olehnya. Pada beliau, semuanya perlu dilakukan dengan penuh sistematik dan teratur. Tidak adil untuk saya berterusan bercerita tentang kandungan buku ini, anda perlu membacanya, yang pasti anda semua akan teruja kerana ianya tentang visi seorang pemimpin yang sentiasa pandang ke hadapan,” katanya.

MGF13122018_Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan_04
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika majlis pelancaran buku ‘Tun M dan Saya’ oleh Professor Xu hari ini.

Maszlee menambah, selepas membaca karya Professor Xu, pastinya umum akan dapat mempelajari, selain mencotohi pelbagai perkara positif yang juga akan membawa kebaikan dalam kehidupan seharian masing-masing.

Buku tersebut yang diterbitkan oleh Sasbadi Sdn Bhd sudah mula berada di pasaran ketika ini.

Sebanyak 10,000 sekolah juga telah menerima tajaan buku ini secara percuma oleh syarikat dan individu bagi memastikan budaya membaca itu dapat diteruskan. – MalaysiaGazette