Home Utama Harga ikan tertentu naik 10 peratus, telur kekal

Harga ikan tertentu naik 10 peratus, telur kekal

Pengunjung membeli ikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Harga ikan tertentu seperti ikan tongkol, ikan bawal dan lain-lain didapati naik antara 5 hingga 10 peratus, hari ini.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Besar Chow Kit mendapati harga ikan tongkol hitam naik sebanyak 10 peratus berbanding minggu lalu.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_02
Peniaga Ikan, Harry Musa bercakap mengenai harga ikan ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

Menurut peniaga, kenaikan itu disebabkan oleh bekalan ikan tersebut yang berkurangan disebabkan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

“Harga seperti biasa sahaja kami jual minggu ini. Tapi ada beberapa ikan yang naik harga. Contoh ikan tongkol hitam, naik dari RM9 kepada RM10 sekilogram.

“Naik 10 peratus sahaja. Tidak banyak mungkin sebab belkalan kurang,” kata peniaga ikan, Harry Musa hari ini.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_03
Peniaga Ikan, Harris Basir bercakap mengenai harga ikan ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

“Harga ikan pada paras biasa sahaja. Ada juga yang naik tapi tidak ketara sangat disebabkan oleh bekalan ikan yang berkurangan ekoran ribut Pabuk.

“Kenaikan  sekilogram tidak banyak. Bergantung juga kepada bekalan ikan,” demikan kata seorang lagi peniaga ikan, Harris Basir.

Bagaimanapun, menurut Tuah Yahya, biarpun bekalan beberapa ikan berkurangan namun peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

“Kami jual dengan harga biasa seperti minggu lepas. Tapi stok ikan berkurangan sedikit disebabkan kejadian ribut di Pantai Timur. Kami tidak naikkan harga,” katanya.

Hasil tinjauan tersebut, MalaysiaGazette mendapati harga ikan sardin dijual pada harga RM8 sekilogram, ikan kembung RM12 sekilogram, dan ikan kerisi RM12 sekilogram.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_06
Pembeli ikan, Hamzah Saadun bercakap mengenai harga ikan ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

Pengguna yang ditemui rata-rata tidak merungut dengan harga yang ditawarkan.

Menurut mereka, margin kenaikan harga ikan di pasar ini tidak terlibat tinggi juga dibandingkan dengan kawasan lain.

“Saya dapati ada harga yang berbeza dengan minggu lepas, terutamanya hujung minggu. Beza besar jugak. Kalau tengok ikan tongkol boleh dapat RM8 sekilogram, hari ini dah RM10 sekilogram.

“Tapi di Chow Kit ini harga boleh dikatakan berpatutan. Macam saya yang beli dalam kuantiti kecil tidak terkesan sangat, kalau peniaga tu besar jugalah kesannya,” kata Hamzah Saadun.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_05(2)
Pembeli ikan, Supiah Sulaiman bercakap mengenai harga ikan ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

Menurut Supiah Sulaiman, 60, harga ikan yang dibelinya minggu lalu tidak berubah cuma bekalan ikan segar di pasar itu berkurangan berbanding minggu lalu.

“Minggu lepas, ikan sardin pun RM8 sekilogram, tapi ada beberapa ikan yang naik saya nampak. Saya harap LKIM dapat pastikan bekalan cukup supaya harga tidak naik,” katanya.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_23
Peniaga menyusun telur untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati harga telur yang dijual di kawasan itu tidak naik.

Menurut Marcus Low, 35 harga telur yang dijual beliau hari ini tidak naik dan masih dijual pada harga 43 sen sebiji bagi telur gred A.

“Harga telur tidak berubah hari ini, kita jual seperti biasa juga. Bagi saiz A, cuma 43 sen sebiji.

“Kita tidak boleh naikkan harga sebab kerajaan telah tetapkan turun 2 sen sebiji kan. Kita kena ikut,” katanya.

MGF06012019_TINJAUAN PASAR_09
Peniaga Telur, Ng Tgong Sun bercakap mengenai harga ikan ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019

Nada sama turut disuarakan peniaga telur selama 20 tahun di Pasar Chow Kit, Ng Thong Sun, 62.

Menurut beliau, harga telur bagi gred A masih dijual pada harga RM12 bagi 30 biji.

“Tidak boleh naik harga sebab kerajaan sudah turunkan 2 sen,” ujar beliau kepada MalaysiaGazette.

Awal hari ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan di Pasar Datuk Keramat berkata, hasil tinjauannya menunjukkan harga telur tidak turun.

Malah, menurut beliau, para peniaga telah memberitahunya, harga telur bukan sahaja tidak turun malah naik. -MalaysiaGazette