Home Utama Henti cakap pasal hutang, fikir soal pulih ekonomi – Azmin

Henti cakap pasal hutang, fikir soal pulih ekonomi – Azmin

Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta pihak tertentu menghentikan cakap politik yang merugikan, kerana tumpuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masa kini ialah memberi pembelaan sewajarnya kepada rakyat.

Kata Timbalan Presiden PKR itu, selepas PH menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membentuk kerajaan Persekutuan, tumpuan Kabinet PH ialah memulihkan ekonomi, bukan bergaduh dalam politik.

“Tanggungjawab kita ialah memberi aspirasi kepada rakyat, bukan lagi bercakap pasal hutang negara dan apa yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Rakyat sudah bosan dengan cakap-cakap politik, menyalahkan antara satu sama lain dan bercakap pasal hutang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan ‘Simfoni’ Rumah Selangorku @ EcoMajestic di Semenyih, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Nazmi Osman; dan Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin.

Menurut Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, perancangan kerajaan PH ketika ini ialah memikirkan bagaimana mahu memastikan pembangunan ekonomi Malaysia terus dirancakkan.

“Kita tidak mahu satu dua isu (akan) menjejaskan pembangunan. Dan kita juga tak mahu bincang hal hutang sahaja. Kita turut fikirkan macam mana nak kembangkan ekonomi negara.

“Kita juga tak mahu mana-mana pihak ambil kesempatan ini sehingga kita sendiri terabai dengan urus tadbir,” katanya. – MalaysiaGazette