SITIAWAN – Seorang anggota polis maut manakala seorang orang awam cedera parah motosikal yang ditunggang masing-masing dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan dalam kejadian di Km3 Jalan Sitiawan-Ayer Tawar berhampiran Taman Nesa di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata dalam kejadian 9.05 malam itu, Kpl G. Kumaran, 34 yang bertugas di Balai Polis Seri Manjung, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang lelaki berusia 41 tahun patah bahu kiri serta beberapa kecederaan lain.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, kedua-dua motosikal itu tidak sempat mengelak lalu dilanggar kenderaan berkenaan yang kemudian dipercayai lari selepas kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Muhammad Hanif, polis sedang mengenal pasti kenderaan yang terbabit dalam kejadian dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi pegawai penyiasat Insp. Siti Nur Athira Ramlan menerusi talian 018-9702345 untuk membantu siasatan.
— BERNAMA