Home Utama KFC naik harga sebab kos pengeluaran – Saifuddin

KFC naik harga sebab kos pengeluaran – Saifuddin

PUTRAJAYA – QSR Brands telah menjelaskan kenaikan harga makanan yang disaji oleh restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) disebabkan kenaikan kos pengeluaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata penjelasan itu diberikan oleh syarikat milik Johor Corp itu pada pertemuan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, QSR Brand memberitahu kenaikan kos pengeluaran itu disebabkan konsep rantaian dari satu peringkat ke peringkat lain.

“Pada masa sama, QSR merupakan pemegang francais jenama antarabangsa dan mereka terikat dengan syarat francaisor dan francaise.

“Contohnya dalam penjelasan mereka, mereka terikat membeli dengan syarikat pembekal yang terkandung dalam syarat sedia ada walaupun bahan seperti rempah ratus dan keju dijual murah oleh syarikat pembekal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini pihaknya ke atas dua syarikat francais makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s baru-baru ini.

Saifuddin menambah, pihaknya telah menghantar pegawai bagi melakukan siasatan dan notis itu di bawah seksyen 21, akta kawalan harga dan antipencatutan 2011 juga telah dikeluarkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis APC KPDNHEP di Dewan Sri Siantan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis APC KPDNHEP di Dewan Sri Siantan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

Jelas beliau, tindakan itu dibuat selepas mendengar keluhan dan rungutan masyarakat dalam media sosial dan akhbar berkaitan kenaikan harga makanan segera itu oleh syarikat terbabit.

“QSR Brands telah memberi penjelasan hasil pertemuan pada Jumaat lalu dan saya akan bertemu pula pengurusan McDonald’s pada petang ini,” katanya.

Akhir bulan lalu, tular dalam laman sosial mengenai kenaikan mendadak harga produk KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan set Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: 

Rafizi akan tulis surat kepada KFC harga ‘delivery’ naik