ABU DHABI – Thailand tidak mengambil masa apabila memecat ketua jurulatih, Milovan Rajevac selepas skuad bimbingannya tewas 1-4 kepada India pada saingan Piala Asia, semalam.
Goal.com melaporkan skuad Gajah Perang itu melucutkan jawatan Rajevac dan mengumumkan Sirisak Yodyardthai sebagai pengendali sementara.
Rajevac sebelum ini adalah jurulatih Ghana sebelum membimbing Thailand sejak 2017 dan menyambung kontrak sehingga 2020 pada Februari tahun lalu.
Namun prestasi hambar Thailand selepas kekalahan pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini serta kekalahan kepada India menyebabkan dia ditunjukkan jalan keluar.
Presiden FA Thailand, Somyot Poompanmoung dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang dibuat itu terpaksa dilakukan serta bukan dimahukan oleh penyokong negara itu.
“Saya mengumumkan pelucutan jawatan Milovan Rajevac serta beberapa kakitangannya dan Sirisak Yodyardthai dilantik selaku ketua jurulatih sementara, Choketawee Promrut selaku pembantunya untuk mengharungi baki saingan Piala Asia,” katanya.
Thailand yang beraksi di Piala Asia buat kali pertama sejak 2007 perlu mencari kemenangan apabila bertemu Bahrain, pada Khamis ini. – MalaysiaGazette