KUALA LUMPUR – Timbul desas desus sehingga mencetuskan kerisauan dalam kalangan ahli MIC dan masyarakat India tentang ‘hasrat’ UMNO mahu bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah tidak benar.
Itu kata Setiausaha Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berhubung spekulasi yang timbul khabar sejak beberapa hari lalu berhubung calon kerusi parlimen itu.
Isu UMNO melahirkan minat untuk bertanding mula timbul selepas pengumuman Pakatan Harapan (PH) meletakan M. Manogaran dari DAP sebagai calon.
Kata Vell Paari, sebenarnya tidak ada apa-apa permintaan daripada UMNO untuk mengambil alih kerusi tersebut daripada MIC ketika ini.
“Permintaan mereka hanya untuk calon yang boleh menang sahaja kerana ini adalah kerusi penting buat kita. Ketika ini, kita dalam peringkat mengkaji dan mengenalpasti beberapa calon untuk bertanding dan sudah tentunya menang kelak.
“Selepas keputusan dibuat nanti, pasti akan ada pengumuman yang dibuat untuk pihak media dan juga masyarakat umum, usah risau,” katanya.
Sejak Sabtu lepas, timbul ‘cerita’ UMNO mendesak kerusi itu diberikan kepada parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN) itu.
MalaysiaGazette difahamkan, ada segelintir pimpinan UMNO telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Cameron Highlands yang juga disifatkan laluan ‘selamat’.
Tidak cukup dengan khabar angin itu, hari ini Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pula mendakwa UMNO akan meletakkan calonnya dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Kerusi ini juga terus menjadi tumpuan apabila Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas yang mendakwa sebelum ini telah dijanjikan kerusi itu sejak 17 tahun lepas juga mengumumkan dirinya akan bertanding walaupun partinya mungkin berdepan pembatalan pendaftaran pada 11 Januari ini.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah.
Ia selepas Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan calon MIC Sivarraajh (Barisan Nasional) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette