KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menafikan dakwaan terdapat kewujudan sarang lebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Sebaliknya MAHB dalam satu kenyataan menjelaskan, gambar yang tular di media sosial itu merupakan sekumpulan lebah yang hanya memenuhi ruang di Bay Q4 klia2.
“Kami menyedari perkara itu. Adalah menjadi kebiasaan ruang tertentu di lapangan terbang dihurung sekumpulan lebah dan haiwan itu akan beredar sekiranya hujan atau angin kuat.
“Sekumpulan lebah itu dikesan berada di ruang tersebut antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi tadi,” kata kenyataan itu.
Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memuatnaik di Twitternya gambar sekumpulan lebah sedang membuat sarang di dinding bangunan klia2.
Sekiranya serangga itu masih ada di ruang tersebut sehingga lewat petang ini, MAHB berkata tindakan segera akan diambil.
“Jika sekumpulan lebah itu tidak beredar menjelang malam, kami akan memanggil pihak kawalan serangga untuk menghalau haiwan tersebut bagi mengelak ia daripada membuat sarang di situ.
“Aktiviti menghalau lebah itu kebiasaannya dilakukan pada sebelah malam atas sebab keselamatan,” katanya. – MalaysiaGazette