SEREMBAN – Dua lelaki Rohingya, yang juga pemegang kad UNHCR, direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menawar dan memberi rasuah kepada anggota polis berjumlah RM85.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mahkamah Seremban Mas Azmimin Ahmad di sini yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Menurut SPRM, kira-kira pukul 1.00 petang semalam di Taman Jujur, Sikamat di sini, seorang anggota polis berpangkat koperal telah menahan dan memeriksa dua lelaki Rohingya berusia 22 dan 26 tahun yang menunggang motosikal.
“Pemeriksaan mendapati penunggang dan pembonceng yang bekerja sendiri itu adalah pemegang kad UNHCR. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
“”Kedua-dua mereka kemudian menawarkan dan memberikan wang rasuah sebanyak RM85 kepada anggota polis berkenaan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penunggang motosikal itu kerana telah menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.
Susulan itu, anggota polis berkenaan menahan kedua-dua lelaki itu dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan selanjutnya, katanya.
— BERNAMA