Home Ekonomi Ekonomi Malaysia terus perlahan pada 2020

Ekonomi Malaysia terus perlahan pada 2020

Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka perlahan kepada 4.7 peratus pada 2019 dan 4.5 peratus pada 2020.

Menurut Moody’s Investor Service, profil kredit negara menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang besar dengan ekonomi yang pelbagai mempunyai prospek sihat untuk tempoh sederhana.

Hutang kerajaan yang agak banyak yang mana sebahagian besarnya dapat diimbangi oleh struktur hutang yang baik dan simpanan domestik yang banyak.

Katanya, tekanan luaran yang berpunca daripada protectionism perdagangan akan mengurangkan aktiviti dagangan manakala semakan semula projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan awam yang perlahan akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi semakin menyusut.

“Bagaimanapun, pengembangan ekonomi akan bertahan lebih kukuh berbanding purata median untuk negara-negara berpenarafan A- yang lain,” kaanya dalam analisis kredit yang bertajuk “Kerajaan Malaysia- A3 stabil: Analisis Kredit Tahunan.

Tambah Moody’s, pemilihan dasar fiskal kerajaan Malaysia baru-baru ini terutamanya di dalam menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan mengecilkan perolehan dan seterusnya mengurangkan keanjalan fiskal.

Tambahan pula, beban hutang Malaysia yang jauh lebih tinggi daripada kadar median A- akan kekal menyukarkan kredit.

“Rangka kerja institusi yang kukuh termasuk dasar monetari yang efektif menyokong profil kredit negara.

“Namun begitu, aktiviti rasuah yang masih berleluasa masih kekal menjadi cabaran kepada kerajaan kerana ia akan menjejaskan keberkesanan polisi,” katanya lagi.

Menurut Moody’s, ia akan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar penarafan negara sekiranya prospek fiskal Malaysia terus lemah atau sekiranya beban hutang semakin bertambah.-MalaysiaGazette