Home Nasional NGO serah bukti Formis dapat projek secara terus daripada SSM

NGO serah bukti Formis dapat projek secara terus daripada SSM

Nazri Abdullah
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor, Nazri Abdullah, bercakap kepada media tentang memorandum berhubung satu isu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dibangkit Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM Putrajaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI. 08 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor (PKBS) menyerah memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kepincangan projek-projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diberikan secara terus kepada sebuah syarikat.

Pengerusinya, Nazri Abdullah berkata, hasil maklumat yang diperoleh pihaknya mendapati terdapat bukti kukuh kemungkinanan wujud unsur salah guna kuasa berkaitan projek utama yang dimenangi syarikat Formis Network Services Sdn. Bhd. (Formis).

Jelas beliau, projek itu melibatkan semua kutipan hasil SSM seperti penubuhan syarikat, pembayaran kompaun dan produk-produk agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna iaitu seperti dokumen-dokumen syarikat dan perniagaan, skim faedah, pemfailan penyataan tahunan dan analisis data.

“Projek ini pernah dibuka untuk tender terbuka pada April 2015 apabila syarikat-syarikat telah menyertai, menghantar cadangan mereka sehingga tahap penilaian.

“Namun malangnya ia telah dibatalkan dan diberikan secara terus kepada Formis pada November 2017,” katanya .

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerah memorandum yang mengandung fakta kes di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Serahan memorandum itu susulan pendedahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin di Parlimen baru-baru ini.

Nazri mendakwa terma perjanjian projek itu antara SSM dan Formis amat berat sebelah berdasarkan kontrak selama lima tahun dan perkongsian pendapatan tahunan SSM pada kadar 10 peratus.

Jelas beliau, agensi itu turut tidak boleh membuat penilaian pada akhir tempoh kontrak tersebut dan terus menyambung secara automatik selama lima tahun lagi.

“Pihak kami mendapati pendapatan SSM pada 2016 dan 2017 adalah RM379 juta dan RM428 iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.

“Maka jumlah komitmen yang perlu dibayar SSM kepada Formis amat merugikan.

“Jika dihitung dan diambil secara purata, Formis akan mendapat pulangan sebanyak RM400 juta dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Nazri turut meminta SPRM menyiasat Formis kerana sering mendapat projek-projek SSM termasuk Malaysian Business Reporting System (MBRS).

“Kami juga mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat lebih mendalam mengenai projek-projek lain di SSM seperti Biztrust, MyLLP, Digital CTC, MyCOID dan Ezbiz,” katanya. – MalaysiaGazette