KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 merupakan salah satu bukti jelas bahawa Kerajaan Pakatan tidak membuat pusingan U khususnya kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, biarpun mengakui ada sesetengah janji pilihan raya lalu sukar dilaksanakan kerana kekangan kewangan, namun janji kepada pengguna pengangkutan awam tetap ditunaikan.
“Kepada pengkritik-pengkritik kerajaan mengatakan kerajaan ini selalu buat pusingan U, saya ingin katakan ini adalah salah satu daripada contoh jelas di mana kita telah menepati janji kita, ini manifesto kita, dan kita beri, dalam tempoh singkat kita menunaikan janji ini untuk pengangkutan awam.
“Jadi bukan semua perkara kita buat pusingan U, ada perkara kita memang ada kekangan dan masalah tetapi perkara yang boleh kita lakukan kita sudah pasti komited untuk menunaikan janji kita.
“Kita harap penggunaan pas ini akan bertambah dan kerajaan akan komited memastikan bahawa program ini dapat berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di pejabat korporat Prasaran Malaysia Berhad, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anthony membuat tinjauan dengan menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari stesen MRT Kajang hingga stesen LRT Bangsar berhubung sambutan orang ramai terhadap pas perjalanan tanpa had My100 dan My50.
Pas bulanan untuk perkhidmatan rel di ibu negara dan bas RapidKL yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan sejak 1 Disember 2018 merupakan salah satu janji yang terkandung dalam Buku Harapan pada PRU14 lalu.
Manifesto PH antara lain memperbaiki kualiti dan liputan serta menyediakan insentif kepada pengguna pengangkutan awam sedia ada bertujuan untuk menangani kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar.
Sementara itu, Anthony juga tidak menolak pas bulanan itu akan diperkenalkan kepada pengguna MyRapid di luar Lembah Klang khusus di Pulau Pinang selewat-lewat suku kedua tahun ini.
“Saya juga meminta Prasarana untuk mengkaji pas bulanan ini kepada MyRapid Pulau Pinang untuk fasa kedua dijalankan di Pulau Pinang untuk perkhidmatan bas.
“Di sana ada bas rapid dan banyak laluan dikendalikan oleh Rapid Pulau Pinang dan ini fasa kedua kita harap dapat diperkenalkan menjelang suku kedua tahun ini untuk Pulau Pinang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette