Home Nasional Remaja 16 tahun antara empat ditahan kerana ragut

Remaja 16 tahun antara empat ditahan kerana ragut

Seorang remaja berusia 16 tahun antara empat yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut beg tangan milik seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di Taman Saga di sini, pada 30 Dis lepas.
Seorang remaja berusia 16 tahun antara empat yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut beg tangan milik seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di Taman Saga di sini, pada 30 Dis lepas.

ALOR SETAR – Seorang remaja berusia 16 tahun antara empat yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut beg tangan milik seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di Taman Saga di sini, pada 30 Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.40 petang apabila dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal bertindak meragut beg tangan wanita berusia 26 tahun sehingga mangsa terjatuh dan patah di bahagian bahu kanan.

Katanya, polis yang menerima laporan kejadian itu kemudian menahan kesemua suspek berusia antara 16 hingga 33 tahun itu di beberapa lokasi di daerah ini bermula pukul 9.30 malam semalam.

“Kesemua ditahan berasingan di Taman Setia 1B, tepi jalan Taman Samudera, Kampung Telok Kechai dan di perkarangan Sekolah Madrasah At-Taklimah Al-Khairiah di Kampung Tok Keling.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati tangkapan pertama dan kedua mengaku memiliki telefon bimbit mangsa yang dibeli dari tangkapan ketiga. Tangkapan ketiga pula mengaku melakukan ragut bersama tangkapan keempat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, anak kunci motosikal dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Wave 125 yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes ragut di sekitar daerah ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun yang memperuntukkan hukuman penjara sehinga 20 tahun dan denda atau sebatan.

— BERNAMA