Home Seni Hidup Vida rugi RM100,000, tanda Allah SWT sayang

Vida rugi RM100,000, tanda Allah SWT sayang

Foto Instagram Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila produk jualannya mengalami kerosakan.

Insiden itu berlaku setelah khemah di gudang penyimpanan barang di Jelapang 2 di Ipoh, roboh akibat ribut yang melanda kelmarin.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, semasa kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, 10 orang pekerja yang berada di khemah tersebut sedang membuat kerja manakala beliau dalam perjalanan ke gudang tersebut.

“Ibarat satu dahan yg ditebang, berguguran buah yang gugur. .
itulah perumpamaan.. moga dibukakan lagi pintu nikmat.

“Saya tidak mengeluh, tidak merungut…tidak merintih.

“Apakah hikmah disebalik ujian? Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar. Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar dan tanda Allah masih sayangkan kita,” tulisnya berkongsi luahan hati di Instagramnya.

Dalam kejadian sama, beberapa cermin serta bumbung di gudang yang telah beroperasi setahun lebih itu turut mengalami kerosakan kerana terkena besi khemah berkenaan.

Beliau berkata, angin kuat selalu berlaku di kawasan tersebut, namun kejadian seperti itu adalah yang pertama dan beliau menganggap ia adalah ujian daripada Allah.

“Walaupun kejadian itu berlaku pelanggan tetap memberi sokongan dan datang ke gudang membeli produk saya,” katanya.

Menurut Datuk Seri Vida, produk jualan yang diletakkan di khemah tersebut adalah untuk promosi jualan murah yang dibuat selama tiga hari sejak Jumaat lepas. – MalaysiaGazette