Home Politik Ambil tindakan tegas pihak hina institusi raja

Ambil tindakan tegas pihak hina institusi raja

Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap netizen di laman sosial yang secara terbuka memberi ulasan menghina institusi raja dan menggugat keharmonian masyarkat majmuk di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, bukan sahaja menghina malah tindakan sama perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang memperlekeh institusi yang sama kerana ia dijamin perlembagaan.

“Langkah ini adalah perlu, agar rakyat Malaysia faham bahawa sesiapa sahaja, tidak kira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.

“Jika mereka didapati menyindir, merendah-rendahkan dan menghina institusi Kesultanan Melayu, mereka akan tertakluk kepada tindakan undang-undang.

“Jika dilihat di negara-negara jiran kita seperti Singapura dan Thailand, apa sahaja bentuk komentar dalam talian mahupun perbuatan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

“Ia akan dicegah lebih awal dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isnin lalu, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak PDRM agar bertindak tegas kepada pemilik akaun Facebook bernama Eric Liew yang secara jelas menghina Sultan Muhammad V.

Komen yang dibuat Eric Liew di dalam Facebook terhadap Sultan Muhammad V berikutan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bersifat menghina dan jahat.

Komen individu yang menggunakan nama Eric Liew itu dibuat dalam satu hantaran di Facebook di berbunyi ‘Too busy fornicating with his new bride’ (terlalu sibuk berzina dengan isteri baharunya).

Mohamed Khaled juga berkata, pihak berkuasa berperanan untuk mencegah segala bentuk pencabulan imej sistem Raja Berperlembagaan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memulihkannya.

“Sudah tiba masanya kita menggunakan setiap instrumen undang-undang yang wujud dan mengukuhkan penguatkuasaannya. Ia bagi mengangkat dan memelihara martabat institusi Raja Berperlembagaan Malaysia dan ketenteraman bersama,” katanya.

Mohamed Khaled juga berkata, tindakan berulang seorang pegawai kepada parti politik di Sabah bukan sahaja menghina institusi Raja bahkan agam Islam yang berulang kali perlu diberi perhatian tegas.

“Mutakhir ini kita melihat bermacam-macam jenis ungkapan tidak sopan diluah di media sosial, terhadap DYMM Sultan Kelantan dan Institusi Raja Berperlembagaan Malaysia.

“Ini termasuk juga seorang lelaki berasal dari Sabah yang memuat naik komen tidak sopan ke atas institusi DiRaja Malaysia.

“Dengan menggunakan akaun Facebook bernama ‘Desmond Yongkor’ dia mengaku sebagai seorang pengarah strategik perang siber Parti Warisan Sabah dan telah melakukan perbuatan yang demikian secara berterusan meskipun banyak laporan polis telah dilakukan.

“Bukan itu sahaja, akaun beliau juga didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempersenda agama Islam dan orang Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette