KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng dicabar untuk membuktikan dana pilihan raya yang diterima oleh MCA pada tahun 2013 daripada wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Cabaran itu dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selepas Menteri Kewangan itu mengandaikan dana pilihan raya yang diserahkan oleh Datuk Seri Najib Razak kepada Tan Dr Dr Chua Soi Lek dari sumber entiti tersebut.
Ketika itu Soi Lek adalah Presiden MCA.
“Lim Guan Eng, sebagai Menteri Kewangan, perlu tahu wujud undang-undang yang mengawal kerahsiaan perbankan. Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, MCA tidak mempunyai hak untuk memberitahu bank supaya mendedahkan punca wang yang diserahkan oleh Najib kepada MCA pada tahun 2013 untuk tujuan pilihan raya.
“Dari penyataan Lim Guan Eng, saya dapat merasakan beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang prinsip undang-undang.
“Memandangkan beliau menuduh MCA menerima wang 1MDB, beliau mesti membuktikan dakwaannya. Tanggungjawab adalah mengenai pendakwaan atau yang menuduh untuk membuktikan rasa bersalah tertuduh dalam proses perundangan. Ini adalah pengetahuan asas undang-undang yang perlu beliau difahami,” katanya di sini.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah melancarkan siasatan terhadap 1MDB sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintah negara.
Lantaran itu, Guan Eng perlu memberi laluan kepada SPRM melaksanakan tugasnya dengan bebas dan melaporkan progres siasatan.
“Sekiranya, Guan Eng mempunyai bukti MCA menerima dana dari 1MDB atau mengesyaki MCA terlibat dalam rasuah melampaui apa yang telah SPRM kumpulkan dalam siasatan selama lapan bulan ini, sila membuat laporan dengan polis dan SPRM.
“Saya berjanji bahawa MCA, di bawah kepimpinan saya, akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan 1MDB walaupun dakwaan pemindahan dana berlaku sebelum saya mengambil alih ketua parti,” tegasnya.
Presiden MCA itu juga mengingatkan Guan Eng agar tidak bertindak seperti pegawai SPRM kerana rakyat berharap beliau memberi tumpuan tugasnya sebagai Menteri Kewangan.
“Kami tahu Lim Guan Eng bertindak begini untuk mengalih perhatian orang ramai daripada sikap membuli ke atas Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman University College, kegagalan Pakatan Harapan untuk mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu dan ekonomi yang semakin lemah. – MalaysiaGazette