Home Politik Orang Asli penentu kerusi Cameron Highlands

Orang Asli penentu kerusi Cameron Highlands

Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon Orang Asli dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini susulan risiko kehilangan kerusi tradisi MIC itu kian meningkat kepada DAP.

Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Isham Abdul Jalil berkata, cadangan itu mampu menyelamatkan BN yang sebelum ini hanya mendapat majoriti tipis dalam PRU-13 dan PRU-14.

“Bukan saya tidak yakin MIC boleh menang di sini. MIC telah menang di Cameron Highlands pada PRU-13 dan PRU-14 dengan majoriti tipis sebanyak 462 dan 597.

“Undi penentu di Cameron Highlands sebenarnya terletak di tangan pengundi Orang Asli seramai 6,964 orang yang mewakili lebih 21 peratus pengundi.

“Pengundi Melayu di sini adalah seramai 10,820 (34%), Cina 9,524 (30%) dan India 4,798 (15%).

“Dalam PRU yang lepas, lebih 60 peratus pengundi Melayu telah mengundi BN dan lebih 3,500 pengundi Melayu pula mengundi Pas. Undi Melayu di sini rata-rata tidak menyokong PKR atau DAP dari dulu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Pada 19 Disember 2018, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh PRK Cameron Highlands telah ditetapkan pada 26 Januari ini.

Manakala penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari dan tarikh mengundi awal pula ditetapkan pada 22 Januari ini.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah.

Ia selepas calon DAP, M. Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan calon MIC Sivarraajh (BN) pada PRU-14 Mei.

Isham juga mendakwa, pengundi Cina yang memilih Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 lepas dijangka meningkat sekali ganda dalam pilihan raya kali ini untuk mengundi calon DAP.

“Undi India pula terpecah kepada dua iaitu kepada BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pada PRK kali ini ianya akan pecah tiga kepada BN, MyPPP dan PSM,” katanya.

Isham turut mengingatkan BN agar tidak memandang rendah kepada Orang Asli yang memberi sokongan tinggi dan boleh menyebabkan parti perikatan itu menang tipis dalam dua pilihan raya lepas.

“Orang Asli pula rata-rata menyokong BN sebelum ini. Tahap sokongan yang tinggi daripada mereka inilah yang menyebabkan BN boleh menang tipis di Cameron Highlands pada pilihanraya-pilihanraya umum yang lepas.

“Saya jangkakan tahap sokongan berdasarkan kaum tidak akan banyak berubah dalam PRK ini berbanding PRU14,” katanya.

Katanya lagi, BN perlu berasa bimbang kepada peratus keluar mengundi khususnya orang Asli pada hari mengundi nanti dan ia terbukit merugikan parti berusia lebih 60 tahun itu dalam PRK-PRK lepas.

“Jika peratus keluar mengundi rendah, maka BN mungkin akan hilang majoriti tipis yang diperoleh sebelum ini dan mungkin kalah di kerusi ini.

“Hal ini menjadi lebih teruk sekiranya orang asli tidak keluar mengundi. Walaupun Orang Asli di sini kebanyakannya bukan pengundi luar namun mereka tinggal di 14 kampung jauh dan terpencil yang menyukarkan mereka untuk keluar mengundi.

“Tanpa kekuatan lojistik dan sokongan jentera kerajaan seperti dahulu, adalah bertambah sukar untuk menaruh harapan supaya orang asli keluar mengundi kali ini,” katanya.

Isham juga tidak menolak peluang BN untuk mengekalkan kemenangan semakin cerah sekirnya Pas tidak meletakkan calon pada 12 Januari ini.

“Jika kebanyakan daripada 3,500 pengundi yang mengundi Pas pada PRU-14 keluar mengundi BN kali ini, maka BN mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

“Penyokong-penyokong Pas di sini mungkin akan lebih bersemangat untuk keluar mengundi sekiranya calon BN itu adalah orang Melayu Islam atau Orang Asli beragama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Orang Asli calon BN PRK Cameron Highlands?

+ posts