IPOH – Kerajaan negeri masih belum memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air dan perkara itu masih dalam peringkat kajian, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, sekiranya berlaku kenaikkan kadar tarif air di negeri ini, kerajaan negeri akan memastikan ia tidak membebankan golongan yang memerlukan.
“Keputusan untuk menaikkan taraf air ini nanti akhirnya akan kita buat melalui keputusan kerajaan negeri dan kita akan pertimbangkan perkara ini sebelum ia dilaksanakan.
“Kita mencari keseimbangan yang baik (kadar tarif air)..,kita nak keseimbangan supaya industri kita masih dapat menarik pelabur untuk datang, pengguna domestik tak terbeban dengan kenaikan, sekolah, masjid perlu dikategorikan dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata, rakyat perlu diberikan pemahaman bahawa sekiranya berlaku kenaikan kadar taraf air ia adalah disebabkan keperluan bukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat.
“Pengguna domestik perlu dididik menghargai nilai air, sama seperti pengumuman saya sebelum ini berkenaan dengan meletakkan logo berhenti merokok pada jersi pasukan bola sepak Perak.
“Kita juga akan letak logo jimat air pada jersi pasukan bola sepak Perak kerana saya berpandangan jika perkara ini tidak dibuat dalam tahun ini, ia (logo) perlu dibuat dalam dua tiga tahun akan datang kerana tarif air tentunya perlu dinaikkan,” katanya.
Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar memberitahu kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.
Kata Xavier, kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan dan perkara itu akan dirunding dengan semua kerajaan negeri. – MalaysiaGazette