Home Ekonomi Sarawak masih berhutang hampir RM2.89b dengan kerajaan pusat

Sarawak masih berhutang hampir RM2.89b dengan kerajaan pusat

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan mengesahkan kerajaan negeri Sarawak mempunyai baki hutang sebanyak RM2.43 bilion dengan tunggakan bayaran balik hutang sebanyak RM46.5 juta setakat 31 Disember 2018.

Menurut menterinya, Lim Guan Eng, ini berbeza dengan dakwaan kerajaan Sarawak yang mengatakan setakat 31 Disember lalu, negeri itu hanya berhutang sebanyak RM2.38 bilion manakala semua pinjaman telah dibayar balik mengikut jadual ditetapkan tanpa sebarang tunggakan.

“Ingin ditekankan bahawa kenyataan media Kementerian Kewangan pada 6 Januari 2019 menggunakan jumlah seperti pada 30 November 2018 iaitu baki hutang adalah lebih daripada RM2.5 Bilion dan tunggakan bayaran balik hutang hampir RM50 Juta.

“Berasaskan rekod Kerajaan Persekutuan, pada 31 Disember 2018, baki hutang Kerajaan Negeri Sarawak adalah berjumlah RM2.43 bilion dan masih ada tunggakan bayaran balik hutang sebanyak RM46.5 Juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, hasil cukai pelancongan yang telah pun dikutip sejak September 2017 tetapi tidak dibayar oleh kerajaan terdahulu akan dibayar oleh kerajaan baharu pada suku pertama 2019.

Kerajaan Negeri Sarawak diminta berhubung dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapat maklumat dah fakta yang benar dan berasas.- MalaysiaGazette