KUALA LUMPUR – Belum apa-apa, DAP seolah-olah sudah tunjuk ‘belang’ apabila memberikan perumpamaan bersifat menghina terhadap kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) akan meletakan calon dalam kalangan Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands.
Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang juga ahli DAP dilaporkan Malaysiakini mendakwa, strategi BN dalam meletakan calon Orang Asli sebenarnya bukan sahaja tidak akan membuahkan hasil, malah sokongan dalam kalangan kaum lain.
Manogaran memberikan contoh melalui analogi ‘kuih’ dengan mengatakan orang Melayu tidak akan membeli kuih dari gerai Orang Asli, maka bagaimana pula mahu mendapatkan undi kelak.
“Ikut perkiraan BN, mereka fikir… Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir orang Melayu akan undi Orang Asli.
“Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?’ Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,” katanya.
Kenyataan berbaur perkauman itu dikatakan dikeluarkan oleh Manogaran ketika mengulas spekulasi ada kemungkinan BN mencalonkan bekas polis, Assisten Komisioner Ramli Mohd Noor juga merupakan dalam kalangan Suku kaum Semai dari Pos Mensoon Cameron Highlands.
Calon DAP itu juga menambah, adalah sukar untuk Ramli Mohd Noor tidak akan mendapat majoriti undi walaupun dalam kalangan masyarakatnya sendiri kerana kini kerajaan berada di bawah tampuk kuasa PH.
“Saya tak fikir Ramli akan dapat undi Orang Asli sepenuhnya. Saya tak rasa begitu, kerana Orang Asli akan undi kerajaan; di mana Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) diletakkan. Mereka akan lihat pada Jakoa,” ujarnya.
Bagaimanapun kenyataan Manogaran mendapatkan kritikan netizen yang menganggapnya melampau dengan memberikan analogi ‘kuih’ seperti itu.
Rata-rata mereka meluahkan rasa tidak puas hati malah memberi nasihat serta amaran kepadanya agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dengan tidak sesekali memandang rendah terhadap kuasa rakyat serta pengundi.
Ada juga memintanya jangan menghina masyarakat Orang Asli sebaliknya cuba menjadi pemimpin lebih baik dengan membawa pembaharuan serta pembangunan kepada mereka. –MalaysiaGazette