Home Politik BN letak calon boleh menang di Cameron Highlands

BN letak calon boleh menang di Cameron Highlands

Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO akan membantu calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland pada 26 Januari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, PRK Cameron Highlands merupakan sebuah medan yang penting bagi menunjukkan sama ada BN masih lagi mendapat tempat dihati rakyat terutama di kawasan Cameron Highlands.

Malah, menurut Mohamad yang kini memangku tugas-tugas presiden berkata, calon yang akan diletakkan juga telah dipersetujui oleh parti komponen MCA, MIC dan UMNO sendiri.

“Pucuk pimpinan BN dah bermesyuarat untuk pilih calon yang sesuai bagi mewakili BN.

“Kita dah bincangkan. Perbincangan diperingkat BN dan UMNO. Dengan pandangan tersebut calon itu nanti mestilah yang boleh menguatkan parti dan memberikan kemenangan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO 2019 di sini sebentar tadi.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datum Seri Mahadzir Khalid dan pimpinan tertinggi UMNO.

Menurut Mohamad lagi, BN dan UMNO kini sudah tidak seperti dahulu dimana jika dahulu sesiapa sahaja yang diletakkan oleh parti akan mencapai kemenangan.

Sebaliknya, trend itu kini berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang mana UMNO dan BN perlu meletakkan calon yang boleh memberikan kemenangan kepada parti.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohamad Hassan berkata, mesyuarat UMNO di peringkat kawasan akan bermula pada 15 Februari hingga 31 April akan datang dengan tempoh dua bulan.

Ini bagi memberi ruang kepada bahagian-bahagian yang mempunyai cawangan banyak untuk menyelesaikan mesyuarat masing-masing. – MalaysiaGazette