Home Utama Isu Hina Agong: Kerajaan akan lihat definisi menghina lebih tepat –...

Isu Hina Agong: Kerajaan akan lihat definisi menghina lebih tepat – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sambil diiringi Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kasim Mohamed (kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mendefinisikan perkataan atau perbuatan yang boleh dianggap sebagai menghina institusi diraja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas isu penahanan tiga individu di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, beliau berkata definisi sebenar perbuatan atau perkataan menghina itu perlu untuk penguatkuasaan pada masa akan datang.

“Pada masa ini pihak penguat kuasa tidak faham apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu ‘spell out’ (nyatakan) apa perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Ditanya mengenai undang-undang baharu yang akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina, seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini, Dr Mahathir secara ringkas berkata kerajaan akan melihat definisi menghina yang lebih tepat.

Penahanan tiga individu terbabit semalam bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan di media sosial berkaitan isu Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, mendapat kritikan pihak-pihak tertentu.

Dr Mahathir berkata Malaysia kini mengamalkan kebebasan bersuara di mana individu yang bercakap perkara yang berfakta tidak boleh disalahkan.

“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut, akan berlaku ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai agendanya menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene yang dijadualkan petang ini, Dr Mahathir berkata: “Saya nak jumpa baginda, itu saja.”

Sebuah akhbar tempatan yang memetik sumber Pejabat Perdana Menteri melaporkan Sultan Johor berkenan untuk menerima Dr Mahathir menghadap dan ia merupakan yang pertama kali sejak beliau menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya sama ada pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan dibincangkan semasa menghadap Sultan Ibrahim, sumber itu memberitahu terdapat banyak perkara yang perlu dimaklumkan dalam pertemuan tersebut.

— BERNAMA