Home Nasional Jadikan hab pendidikan, bukan buka kampus cawangan

Jadikan hab pendidikan, bukan buka kampus cawangan

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula cadangannya untuk membuka cawangan universiti awam di Indonesia.

Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menterinya, Dr Maszlee Malik wajar membangunkan negara ini sebagai hab pengajian tinggi, bukan buka kampus cawangan di negara jiran.

“Sepatutnya bangunkan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi, bukan buka kampus cawangan di Indonesia,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Maszlee bahawa kementerian itu meninjau peluang untuk membuka cawangan universiti awamnya di Indonesia, negara yang berpenduduk lebih 260 juta itu.

Menurut Dr Maszlee, program lawatan kerja pertamanya ke Indonesia sejak menerajui kementerian itu juga adalah bagi meningkatkan lagi kerjasama pendidikan sedia ada antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu juga mendapat respon pro dan kontra warganet berhubung cadangan itu, dengan pemilik akaun msiddiq01 memintanya jangan membuatkan Malaysia banyak hutang dengan pembinaan projek besar-besar.

Bagaimanapun, pemilik akaun reidz_nana memberi komen menyokongnya dengan berkata, mungkin tujuan buka kampus cawangan di Indonesia kerana ramai rakyat negara ini sambung pelajaran di sana.

“Memang ramai, sebab ramai kawan saya yang sekarang doktor, doktor pergigian dan ustaz mendapat kelulusan di universiti di Indonesia. Tunggu dulu apa menteri nak beri penjelasan, jangan cepat menghukum,” komennya. – MalaysiaGazette

+ posts