Home Sukan Mata Hari buru kejohanan kelima berturut-turut

Mata Hari buru kejohanan kelima berturut-turut

Pasukan Mata Hari KL Registry dari Malaysia semasa memulakan perlumbaan pada hari ketiga Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2019

LANGKAWI – Tumpuan kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 kini terarah kepada pasukan Mata Hari KL Registry yang dalam misi untuk meraih kejuaraan kali kelima bagi kategori IRC1.

Biarpun merasakan peluang terbuka luas untuk mencapai misi berkenaan, pasukan tempatan itu memulakan saingan hari ketiga ini dengan rentak kurang cemerlang.

Mata Hari gagal menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan jauh ditinggalkan East Marine Emagine di tempat pertama pada hari ini.

Pasukan bimbingan Vincent Chan itu kini mendahului kelas IRC1 selepas melakar tiga kemenangan dengan terbaru pada perlumbaan 3 semalam.

Kedudukan kedua milik pasukan dari Rusia, MegaZip.

Semalam, pasukan Mata Hari menamatkan pusingan keempat dan kelima pada kedudukan ketiga dan keempat.

“(Peluang) masih terbuka kerana bot lain juga belayar dengan sangat baik.

“Kami memang meletak sasaran (gelaran kelima berturut-turut) itu sebaik saja meraih kejuaraan keempat berturut-turut tahun lalu dan berharap menjadikannya yang kelima berturut-turut kali ini.

“Setakat ini, kami berada di landasan itu tetapi dalam pelayaran dan juga daripada sudut cuaca, banyak cabarannya dan kami perlu berada di kedudukan terbaik untuk kekal berada di atas,” kata beliau.

MGF10012019_REGATTAR LANGKAWI02
Ketua pasukan Mata Hari KL Registry, Vincent Chan bercakap pada hari ketiga Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2019

Selepas enam perlumbaan termasuk dua perlumbaan dimenangi pasukan semalam, Mata Hari KL Registry kini mendahului saingan dengan lapan mata keseluruhan manakala MegaZip berubah kedudukan di tempat kedua dengan 11 mata.

Char Chan ketiga dengan 12 mata.

Keseluruhan hari ini Team Hollywood dari Australia terus mengungguli kedudukan teratas dengan 5 mata jauh meninggalkan juara keseluruhan tahun lalu, pasukan dari Thailand, THA72 dengan perbezaan 5 mata.

Bagi kategori Racing, tempat ketiga milik pasukan Angkatan Tentera Laut, Uranus yang mula bangkit pada hari kedua semalam.

Salah satu pencabar terdekat Uranus, SCS Janda Baik yang menamatkan perlumbaan keenam hari ini pada tempat keempat.

Masih tercorot, satu lagi pasukan Angkatan Tentera Laut, Zuhal di tempat kelima.

Menurut Pengurus Besar RLYC, Tayfun Koksal, keadaan angin lebih baik hari ini iaitu pada kelajuan 17 knot di sekitar pulau sedikit mencabar dan sukar apabila keadaan angin berubah, khususnya ketika pasukan pelayaran memasuki saluran sempit di Pulau Dayang Bunting yang dilindungi oleh pulau-pulau.

“Kelas Racing seolah-olah milik Team Hollywood kerana mereka telah memenangi enam perlumbaan setakat ini.

“Menjadikan mereka pasukan kegemaran untuk (memenangi) Piala Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, IRC1 dijangka sengit antara Mata Hari KL Regency dan Char Chan ,” katanya. – MalaysiaGazette